29 Disember 2016 - 12:07
Pembinaan Penempatan Jejas Solusi Damai Di Asia Barat: Kerry

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry mempertahankan keputusan Amerika Syarikat untuk berkecuali di dalam resolusi Majlis Keselamatan yang mengecam pembinaan penempatan haram Israel di kawasan yang ditaklukinya di Palestin.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry mempertahankan keputusan Amerika Syarikat untuk berkecuali di dalam resolusi Majlis Keselamatan yang mengecam pembinaan penempatan haram Israel di kawasan yang ditaklukinya di Palestin.

John Kerry turut memberi amaran semalam bahawa pembangunan penempatan Israel hanya akan membahayakan proses damai di Asia barat, sambil meluahkan kekecewaannya terhadap sekutu lama AS tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula membalas dengan menuduh Kerry bersifat berat sebelah terhadap rejim haram Yahudi itu. Dalam ucapan 70 minit hanya beberapa minggu sebelum Obama menyerahkan pentadbiran kepada Presiden dipilih, Donald Trump, Kerry berkata, Israel tidak akan mendapat kedamaian sebenar benar dengan dunia Arab jika ia tidak mencapai satu perjanjian berdasarkan rakyat Israel dan Palestin yang tinggal di negeri mereka sendiri.

"Walaupun dengan pelbagai usaha terbaik selama ini, penyelesaian dua negara kini diancam dengan bahaya yang serius," kata Kerry di Jabatan Negara.

Kerry bersungguh-sungguh mempertahankan resolusi PBB dan menolak kritikan "bahawa undi ini membelakangkan Israel".

Pada hari Jumaat lepas, Majlis Keselamatan PBB telah mengundi untuk meluluskan Resolusi 2334 yang menuntut Israel menghentikan kesemua pembinaan penempatan haram di tanah Palestin. Perkara itu dianggap sebagai pukulan terakhir Obama kepada Netanyahu.